SELAMAT DATANG KE BLOG INI.....

KOTA SUCI

Masjidil Haram, kadangkala disebut juga Masjid al-Haram adalah masjid paling suci mengikut kepercayaan umat Islam. Masjid ini terletak di Kota mekah Al Mukharamah. Masjid al-Haram dibina mengelilingi Kaabah, iaitu kiblat umat Islam apabila mengerjakan solat.

Masjidil Haram dijadikan Allah sebagai kiblat. Firman-Nya,

"sungguh Kami akan memalingkan kamu kepada kiblat yang kamu berpuas hati. Maka palingkanlah muka kamu ke arah Masjidil Haram; dan di mana sahaja kamu berada, palingkanlah muka kamu ke arahnya. Orang-orang yang diberi al-Kitab mengetahui bahawa itu adalah yang benar daripada Pemelihara mereka" (2:144).

Arahan supaya memalingkan muka ke arah Masjidil Haram telah disebut dua kali di situ. Ia disebut lagi sebanyak tiga kali di dalam al-Qur'an. Satu daripadanya di dalam ayat berikut, yang turut menyatakan ia adalah yang benar daripada Tuhan. Firman-Nya,

"Dari mana sahaja kamu keluar, palingkanlah muka kamu ke arah Masjidil Haram; ia adalah yang benar daripada Pemelihara kamu, dan Allah tidak lalai daripada apa yang kamu buat." (2:149)
"Dari mana sahaja kamu keluar, palingkanlah muka kamu ke arah Masjidil Haram, dan di mana sahaja kamu berada, palingkanlah muka kamu ke arahnya," (2:150).
Selain itu, Masjidil Haram juga menjadi tempat yang diharamkan untuk menumpahkan darah. Musuh iaitu orang-orang yang tidak percaya tidak diperangi di sana melainkan mereka memerangi. Firman Tuhan,
"janganlah memerangi mereka di Masjidil Haram sehingga mereka memerangi kamu di dalamnya. Kemudian, jika mereka memerangi kamu, bunuhlah mereka. Itulah balasan ke atas orang-orang yang tidak percaya." (2:191)
Mengerjakan Haji adalah satu rukun Islam. Sebahagian daripada Rukun haji perlu dilakukan dalam kawasan Masjidil Haram, iaitu
  • Tawaf Ifadhah, ialah mengelilingi ka'bah sebanyak 7 kali Bermula pada sudut Al-Hajarul Aswad menjadikan Baitullah di sebelah kiri dan berjalan ke hadapan. Jemaah hendaklah berjalan bertujuan Tawaf, bukan bertujuan lain, jika bertukar tujuan, tidak dikira sebagai tawaf. tawaf hendaklah Dilakukan dalam Masjidil Haram dan di luar dari Hijir Ismail/Syazarwan.
  • Sa'i. Sa'ie antara Safa dan Marwah adalah salah satu rukun dari rukun-rukun haji dan umrah. Apabila seseorang menengerjakan haji tidak mengerjakan sa'ie antara kedua bukit ini, batal hajinya.

Terdapat di Dalam Kawasan Masjidil Haram

Makam Ibrahim

Makam Ibrahim bukanlah kuburan Nabi Ibrahim A.S sebagaimana pendapat orang-orang kebanyakan. Ia adalah merupakan bangunan kecil di sebelah timur Kaabah. Di dalam bangunan kecil ini terdapat sebiji batu yang diturunkan oleh Allah dari Syurga bersama-sama dengan Hajarul Aswad. Di atas batu itu Nabi Ibrahim A.S berdiri di waktu baginda membangunkan Kaabah dan puteranya Nabi Ismail memberikan batu kepadanya. Batu itu dipelihara Allah, sekarang ini sudah ditutup dengan perak. Bekas kedua tapak kaki Nabi Ibrahim panjangnya 27cm, lintangnya 14cm dan dalamnya 10cm masih nampak dan jelas dilihat.

Hajarul Aswad

Hajarul Aswadterletak di penjuru keempat Kaabah. Umat Islam percaya Hajarul Aswad telah diturunkan daripada syurga dan telah bertukar menjadi hitam oleh kerana kejahatan manusia. Menurut sejarahnya, Hajarul Aswad diturunkan oleh Allah dari langit ke atas Jabal Qubais. Ia merupakan sebiji permata putih, lebih putih dari salji, tetapi lama - kelamaan menjadi hitam sebab dosa oleh orang-orang musyrik.

Kalau tidak kerana sentuhan tersebut nescaya cahayanya menerangi antara timur dan barat. Ini diterangkan dari hadis Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam yang bermaksud: Dari Ibnu Abbas r.a. katanya, Rasulullah S.A.W bersabda :"Hajarul Aswad diturunkan dari syurga dan berwarna lebih putih dari susu. Dosa-dosa manusia (anak Adam) menyebabkannya menjadi hitam " . Riwayat Ahmad dan Turmizi

Hijir Ismail

Hijir Ismail berpagar batu berlingkar 1.5 meter terletaknya berdampingan dengan Kaabah. Ia dibangunkan oleh Nabi Ibrahim sewaktu beliau membangunkan Kaabah. Hijir Ismail pada mulanya merupakan pagar batu sederhana sahaja. Kemudian Khalifah, Sultan dan Raja berkuasa memecahkan dan membangunkan semula pagar batu itu dengan batu mamar.

Berdasarkan kepada sabda Rasulullah S.A.W, sebahagian dari Hijir Ismail itu adalah termasuk dalamKaabah. Ini diriwayatkan oleh Abu Daud dari 'Aisah r.a. yang bermaksud, 'Dari 'Aisah r.a. katanya; "Aku sangat ingin memasuki Kaabah untuk melakukan sembahyang di dalamnya. Rasulullah S.A.W. memegang tanganku dan memasukkan aku ke dalam Hijir Ismail sambil berkata " Sembahyanglah kamu di Hijir jika kamu hendak masuk ke dalam Kaabah kerana kaum engkau (orang Quraisy) telah meninggalkan bahagian ini di luar semasa mereka membina semula Kaabah".

Orang yang telah mengerjakan tawaf, disunatkan mengerjakan sembahyang sunat dua rakaat di Hijir Ismail selepas beroda dan mengerjakan solat sunat di Makam Ibrahim.

Telaga Zam Zam

Air zam-zam mempunyai keistimewaan dan keberkatan, ia boleh menyembuhkan penyakit, menghilangkan dahaga serta mengenyangkan perut yang lapar. Keistimewaan dan keberkatan itu di sebut dalam sepotong hadith Nabi yang bermaksud:, " Dari Ibnu Abbas r.a. katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: "sebaik-baik air di muka bumi ialah air zam-zam, ia merupakan makanan yang mengenyangkan dan penawar bagi penyakit ". Riwayat - At Tabrani dan Ibnu Hibban.

Kawasan telaga Zam-zam kini telah ditutup oleh pihak berkuasa Arab Saudi.

0 Komen: